Mereka yang BEST

Friday, October 22, 2010

Maher pembasuh jiwa

Maher Zain didatangkan jauh dari Sweden untuk menyelamatkan jiwa anak muda di Malaysia melalui muzik yang dibawakannya. Siapa sangka anak muda yang pernah hanyut itu kini menjadi idola anak muda serata dunia melalui muzik ikhlas yang dihasilkannya.

Jiwa memang diserap masuk unsur positif tatkala mendengar Maher menyanyi secara langsung di Auditorium Dewan Bandaraya Shah Alam, Selangor malam semalam. Dia menjayakan persembahan amal Maher Zain Save The Soul Showcase yang dibawakan oleh Raudhatus Sakinah.

Pada masa yang sama, berlangsung sebuah konsep pop menampilkan bintang American Idol, Adam Lambert yang membawakan muzik yang sangat jauh dengan apa yang Maher perjuangkan.

Namun ramai yang membuat pilihan mahir untuk menikmati alunan muzik Maher Zain. Dewan penuh malah pihak penganjur terpaksa mengabaikan banyak permintaan sebab tempat duduk tak memungkinkan.

Tak salah kalau mengatakan penonton malam itu menikmati malam Jumaat yang indah, bak kata pengacara Ahmad Fedtri Yahya yang berpasangan dengan personaliti bertudung litup Wardina Safiyyah. Aishah dan In-Team turut menghiburkan penonton.

Maher tidak menari walaupun mendendangkan lagu serancak Baraka Allahu Lakuma sebaliknya pengukir senyum sepanjang persembahannya. Ia cukup memuaskan kerana apa yang diharapkan ialah penyampaiannya yang meresap ke dalam jiwa.

Ada sebab mengapa lagu-lagunya menyentap perasaan pendengar. Maher menghasilkan muzik dari dalam jiwa... semestinya mudah meresap ke jiwa.

Apa yang ditulisnya berdasarkan pengalaman hidupnya sendiri serta pemikirannya terhadap apa yang disaksikan dalam hidup.

Apatah lagi Maher sebelum ini bukanlah seorang yang dekat dengan agama kerana dibesarkan di Barat. Namun jiwanya yang sentiasa kosong kerana tidak diisi dengan amalan membuatkan dia mampu meluahkan perasaan dalam setiap lagu yang dihasilkan bila mendapat hidayah.

Sederhana yang memikat

Maher tampil sederhana sahaja walaupun pada masa ini dia ramai pemuja. Imejnya masih kekal sebagai seorang pendatang baru. Memang sebagai penyanyi Maher baru dengan memiliki album sulung.

Tapi sejarah kerjaya seninya sudah lama dan bekerjasama dengan banyak nama besar di belakang tabir pembikinan album.

Kesederhanaan yang ada itulah menjadikan Maher istimewa dan dilihat dekat dengan peminat. Bersesuaian dengan lagu-lagunya yang mendamaikan jiwa.

Malam itu Maher mendendangkan lagu-lagu, Always Be There, Ya Nabi Salam Alaika, Hold My Hand, Allah Allah Kiya Karo, The Chosen One, For The Rest of My Life, Open Your Eyes dan berakhir dengan lagu paling diminati, Insya-Allah.

Nampaknya peminat sudah dekat dengan Maher apabila mengikut bait-bait lagu nyanyiannya sepenjang persembahan. Peminat juga sopan duduk dibangku tanpa berbegas ke depan pentas sebagai menghormati persembahannya.

Namun Maher turut turun ke bawah untuk membolehkan peminat melihat dirinya dari dekat. Peminat memuji penampilan Maher yang kacak.

"Kacaknya dia...," terdengar pujian penonton barisan depan yang berbisik deras kepada rakan di sebelahnya. Rakan sebelah mengangguk dan mengiya-iyakan bisikan itu.

Maher bukan sahaja kacak, malah disulami dengan suara yang merdu dan memikat pendengar dengan alunan suaranya itu. Sebab itulah setiap baris lagu mudah sampai ke jiwa pendengar.

Mahu datang lagi

Maher berjanji tidak menjadikan trip ke Malaysia kali ini sebagai penyudah malah berjanji akan datang lagi menjayakan sebuah konsert yang lebih besar pada masa akan datang.


"Inilah trip yang paling menyeronokkan sayasepanjang saya mengadakan tour ke beberapa negara," kata Maher kepada peminat yang datang menonton persembahan sulungnya di Malaysia.

Malam ini Maher akan mengadakan persembahan terakhir sebelum pulang ke negaranya setelah dua minggu di Malaysia. Kehadiran album Maher memang mengujakan peminat. Sebab itulah album sulung berjudul Thank You Allah kini album terlaris dijual di Malaysia.

Maher juga berterima kasih kepada peminat yang menyokong kerjaya seninya. Malah laman facebook miliknya digemari oleh lebih 700,000 peminat dengan lebih separuh daripadanya peminat dari Malaysia.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...